Terciptanya blog ini apabila si penulis terlihat profil kawannya di Facebook yang penuh dengan promosi terhadap blognya. Memandangkan kawannya itu memang sudah terbukti bakatnya menulis dalam bahasa Inggeris, sudah pasti si penulis ini tiada pilihan melainkan sentiasa menjenguk; menyinggah blog tersebut. Seperti yang dijangka, seluruh blognya dipenuhi dengan isi kandungan yang berpaksikan alam percintaannya bersama jejaka yang boleh dikatakan teramat beruntung di dunia. Apa tidaknya, selain daripada bahasa bunga-bunga yang digunakan sebagai cara untuk membuktikan ketulusan cinta dan kemurnian hatinya, kawannya itu sekali pandang seperti minah saleh; cantik dan comel... Lalu, si penulis telapun menjadi pembaca setia blog tersebut hinggalah ke hari ini.
Baca dan baca lagi, ilham si penulis mula mencurah-curah di kepala. Lalu, terbitlah atau lahirlah blog ini. Namun, semestinya si penulis tidak menggunakan subjek cinta sebagai subjek utama atas dasar yang sangat jelas bahawa si penulis masih berstatus solo. Jadi, mulalah perjalanan penulisan si penulis tentang isu-isu semasa dan isu-isu yang berkaitan dengan diri penulis.
Namun, sejak kebelakangan ini, episod atau jalan cerita si penulis sudah berubah. Ah, si penulis sudah pasti menyalahkan pengaruh kawannya kerana membangkitkan banyak idea berkaitan soal hati ini - pasti.
Kadang-kadang, si penulis berfikir; mungkin segala luahan ini adalah terlalu awal apabila mengambil kira tempoh pengenalan yang masih berusia kurang sebulan. Tetapi, si penulis tidak pernah merasai dirinya amat dihormati sebagai seorang wanita. Lalu, s penulis agak ghairah untuk menjadikan blog ini sebagai sarang tempat luahan segala perasaan.Kadang-kadang si penulis berfikir; apa istimewanya si penulis berbanding wanita-wanita lain di luar sana sehingga diberikan layanan yang sungguh istimewa sebegitu?
Kadang-kadang si penulis bersyukur dengan segala dugaan yang dihadapi kedua-dua pihak. Jadi,perkara-perkara tersebut tidaklah membuatkan si lelaki tersebut menjadi lelaki paling sempurna yang total di dunia. Namun, kerana itulah, si penulis banyak berfikir, kerana selalu terdapat percanggahan antara hati dan logik.
Gerun, seram, takut, ngeri untuk si penulis membiarkan hatinya ditawan dan kemudian dihempas begitu sahaja-pengalaman mendewasakan diri. Pernah dulu, si penulis berkata; status 'hanya-kawan' adalah darjat tertinggi dalam hubungan persahabatan. Ini kerana, pada tahap ini, akan timbul rasa sayang dan pada masa yang sama, tidak akan timbul rasa cemburu, malahan kita akan bahagia apabila si sahabat tadi bersama dengan orang lain. Sebaliknya, jika dinaiktarafkan status itu kepada 'pasangan kekasih', rasa cemburu mula ada, rasa ingin mengawal pasangan mula timbul dan rasa berhaknya sepenuh perhatian diberikan oleh pasangan mula terasa. Bukankah secara logiknya, 'hanya-kawan' lebih baik?
Tetapi, mengapa atau apa logiknya hati kita memilih status yang dinaiktaraf berbanding status 'hanya-kawan'? Mungkin, ianya atas dasar ingin memiliki dan dimiliki - ego dan pentingkan diri sendiri. Lumrah kehidupan.
Berbalik kepada cerita si penulis. Tidak ada lagi yang perlu ditulis penulis. Si penulis hanya perlu berdoa supaya dimudahkan segala urusan duniawi yang penuh cabaran ini sambil dilimpahi dengan rahmay-Nya dan hidayah-Nya.
0 comments:
Post a Comment
What say you?